
NOTA: Reviu ini adalah berdasarkan pengalaman aku selepas mendengar SGE, aku tiada pendidikan formal di dalam bidang muzik.
Semalam aku terima bungkusan yang dihantar oleh Kamal Sabran menggunakan Pos Laju (Terima Kasih Kamal!), perlahan-lahan aku bukakan sampulnya, sambil tersenyum lebar, nah! CD yang aku idam-idamkan, Space Gambus Experiment (SGE). Maka hari ini adalah satu lagi hari yang bersejarah.
Memandangkan CD ini adalah sebuah rilisan penuh, aku pasti cara mendengarnya juga akan berbeza. Perkara seterusnya yang aku lakukan adalah meneliti layout pada bahagian belakang, ada 10 track kesemuanya. Kemudian aku teliti pula cetakan pada CD, tercetak tulisan ‘Made in Ipoh’. Aku tersengih sendiri.
Sambil aku mendengar SGE, otakku mula mencetuskan arus-arus elektrik, dari sisi bagaimanakah interpretasi notasi ini akan aku tuliskan? (Sila baca reviu aku sebelum ini) Selepas beberapa ketika, aku membuat keputusan untuk mendokumentasikan SGE sebagai sebuah perjalanan ke bulan berdasarkan susunan tracknya.
*****
Baiklah, sebaik sahaja kamu mendengar Pengembara Cahaya, kamu sebenarnya sudah tersedut ke dalam ruang masa SGE, aku ibaratkan Pengembara Cahaya sebagai sebuah pintu masa yang menghubungkan kamu kepada ruang masa SGE, petikan gambus Zul akan menangkap kamu terutamanya pada minit 1:35 ke 1:58, kemudian kamu akan di daratkan di lantai bulan untuk menikmati pengalaman yang seterusnya.
Apabila berada di ruang angkasa, perkara pertama yang berlaku pada tubuh kamu adalah mencari keserasian, Lily Wave Mekanik bagaikan sebuah automatik tuner yang akan meneutralkan sistem tubuh kamu dengan suasana angkasa. Kamu tidak perlu bersedih kerana suara dan ambient dari Lily Taylor akan memujuk kamu sepertinya menyatakan bahawasanya kamu tidak keseorangan.
Benar bukan? Kerana apabila kamu pandang semula ke hadapan, Zul dan Kamal sudah bersedia dengan instrumen mereka untuk sebuah opera terhebat dari bulan ke seluruh ruang angkasa. The rest is history, aku tidak boleh ceritakan semua kerana kamu perlu memilikinya sendiri.
Secara peribadi, rilisan penuh SGE ini bagaikan sebuah Sudoku yang telah sempurna. Gambus yang sentiasa mengiringi perjalanan Elektronik itu membuatkan kamu akan terasa keseimbangannya walaupun dalam keadaan kamu yang sedang melawan graviti. Permainan Kamal dan Zul tidak berlebih-lebihan serta tidak membayangi antara satu sama lain.
Ada satu-satu masa apabila kamu terasa tersedut oleh bunyi-bunyian elektronik itu, notasi gambusnya akan segera datang menarik kamu keluar kembali perlahan-lahan, maka kamu akan terasa benar-benar di atas sebuah garisan di antara teknologi dan tradisional.
SGE rilisan penuh ini bagaikan inkarnasi kepada versi sebelumnya, penyesuaian kedua-dua instrumen yang berasal dari dua budaya yang berbeza ternyata memerlukan curahan kreativiti ke satu tahap paling maksimum. Seperti apabila aku mendengar Dari Dalam Kalbu dan Pulang Kakanda Bulan, satu persoalan akan timbul, akukah yang tidak tahu betapa saktinya instrumen gambus ini?
Ataupun pada ketika mendengar keganjilan Fizikali Real, yang terus mengingatkan aku kepada sifat-sifat yang ada pada Mild Und Leise, tinggi sungguh imaginasi Kamal Sabran waktu itu, tentunya Mild Und Leise sedikit sunyi, kerana bukan tujuan aku mahu membandingkannya, bahkan struktur kedua-duanya juga dibina dari peralatan yang berbeza.
Begitu juga dengan track Gerhana, mungkin aku sedikit terperasan jejak-jejak trip-hop Portishead di situ, beranikah Portishead dengan gambus? Ataupun Filter Happier (Radiohead) yang diiringi gambus pada track Panglima 9? Oh, mungkin ini perasaan aku sahaja memandangkan corak keseluruhan SGE telah menepati konsepnya seperti yang aku bayangkan.
Apa yang aku mahu beritahu adalah, SGE sebenarnya patut keluar dari Malaysia sebagai sebuah produk antarabangsa, sekaligus meletakkan tahap muzik di negara ini kepada satu peringkat yang lebih baik dari sebelumnya. Kamal Sabran dan Zulkifli Ramli bagi aku adalah alien yang berbaju melayu, kemistri yang ada pada kedua-duanya adalah keistimewaan kepada penyeimbangan di antara teknologi dan tradisional yang aku anggap sebagai berjaya.
Selamat buat Space Gambus Experiment! Aku akan sentiasa menyokong kalian.
Ben Izzat a.k.a. ARDA. Lahir pada tahun 1982 di tanah DiRaja Klang. Tidak mengalami fasa Tadika dan menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak di Kampung Bukit Kapar sehingga darjah 6, pada usia awal remaja berpindah ke Asrama Putera Sekolah Agama Menengah Hisamuddin Sg. Bertih, Klang (Tingkatan 1-5) sebelum merantau secara dewasa ke Bangi dan menetap di sana sehingga kini.


2 comments:
subhanallah...
memang layan....
Post a Comment