
Space Gambus Experiment LIVE in RA Gallery Kuala Lumpur
Sewaktu bersua pertama kali dengan Kamal Sabran dalam ruang sebenar (sebelumnya hanya berbual di ruang maya), di RA Gallery sewaktu peluncuran album terbarunya - Space Gambus Experiment (SGE), dia dengan seloroh atau serius, menyuruhku menulis sesuatu tentang album tersebut.
Sebelum aku menulis reviu tentang CD yang berharga RM20 ini, lebih elok kiranya aku mahu semua pembaca di sini tahu dulu apa itu 'World Music', irama-irama muzik dunia. Sila cari dalam enjin carian google, sekarang kan zaman internet? Kemudian, dalam pencarian nanti, kamu akan terjumpa segolong pemuzik, penyanyi atau grup muzik yang memang langsung tidak terkenal di persada industri muzik perdana. Seolahnya, penggemar dan pelopor 'muzik dunia' ini, adalah mereka yang berada di ruang angkasaraya, bukannya berpijak di bumi nyata. Itulah keistimewaan 'alien-alien' ini. Mereka, kerana menentang arus perdana yang lebih sibuk dengan gosip dan cerita sensasi, seksi juga lucah berahi, mereka lantas menjadi lebih 'underground' daripada band Dum Dum Tak dan lebih 'cool' daripada Bunkface. Penggemar dan pemuzik genre ini, seolah sufi dalam agama. Mereka menyendiri, mereka sepi. Berzikir pun dalam sunyi. Irama yang diperkenalkan mereka, bukannya irama pop yang boleh kita dengar di radio mahupun lihat dalam tivi. Mungkin ramai kenal Sifu M. Nasir, Kopratasa, Ramli Sarip, Mohram dan seangkatan sebagai artis-artis yang nampak mem'bumi'kan muzik genre nusantara ke dalam halwa telinga pendengar muzik kontemporer. Tetapi, mana lagi pemuzik Malaysia yang mampu menggabungkan kedua-dua genre muzik, moden dan tradisional menjadi satu? Space Gambus Experiment, hasil kolaborasi bersama antara sang artis, Kamal Sabran dengan Zulkifli Ramli selaku pemain gambus membawa pendengar ke alam nan berbeza. Sekiranya kamu penggemar konsert Rainforest World Music Festival yang tiketnya berharga RM90 sekalipun, rasanya kamu tidak akan berpeluang mendengar sebuah konsep muzik aneh sebegini. Yang dipersembahkan dalam konsert itu, kebanyakannya adalah muzik-muzik tradisi masyarakat orang asal sesebuah negara. Sebab itulah kerajaan menganjurkan konsert itu di Sarawak, bukannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Berbalik kepada SGE, pada awalnya, sang artis Kamal Sabran mula berjinak-jinak dengan muzik dimensi 'baru' ini sewaktu menjadi artis residen di Agensi Angkasa Negara sekitar tahun 2005 - 2006, apabila dia bereksperimen dengan gelombang frekuensi daripada Planet Jupiter yang ditangkap melalui teleskop radio. Kemungkinan, pada ketika itulah Tuhan memberi 'ilham' kepadanya agar kemudiannya terus gigih membuat muzik-muzik berjiwa begini. Inilah luahan rasa rindu Kamal kepada Maha Pencipta. Doa yang sering dilakukan manusia setiap ketika malahan di luar waktu solat. Bukanlah aku ingin meremehkan kepentingan sembahyang lima waktu yang memang telah menjadi kewajipan muslim itu, tetapi semua alim-ulama bersetuju bahawa hubungan bersama Pencipta itu mempunyai garis vertikal, yakni hanya makhluk itu dan Maha Khaliq sendiri mengetahui tentang 'pengalaman' rasa ikhlas hati tatkala solat atau berzikir. Apa yang Kamal dan Zulkifli cuba lakukan dalam kolaborasi SGE ini, pada fikiran aku, ialah menghubungkan dunia muzik yang sudah terpisah dua di mana sebelah pihak adalah sekular totok dan satu lagi menjadi terlalu Islamik, lantaran duduk di dalam kepompong mereka sendiri. Masing-masing sering menoleh dan tidak pernah menatap wajah sesama mereka. Sebenarnya, apabila kedua-dua mazhab muzik itu saling memandang, mereka akan melihat wajah mereka sendiri. Seolah cerminan yang sudah sedia terpampang hadapan wajah. Menunggu waktu untuk kedua-dua wajah itu saling cumbu-cumbuan.
Lagu-lagu dalam CD (10 kesemuanya), didendangkan dalam alunan instrumental dengan kombinasi peralatan muzik antaranya penggunaan loop deram, efek elektronik, bass elektronik, xylofon buatan tangan, trumpet, gelombang audio dari Jupiter yang dirakam sebelum ini, bahkan beg plastik(!) diselang-seli pula dengan petikan indah hasil tarian jari-jemari Zulkifli di atas gambusnya memang mengasyikkan jiwa yang sedang dibuai rindu. Apatah lagi, sekiranya kamu menghayati muzik mereka ini sewaktu berbaring di atas hammock yang diikat pada dua batang pohon kelapa, di mana berhadapan dengan kamu ialah pantai dan laut yang luas indah rupa. Aduh, bagai dalam filem Hollywood!
Sewaktu aku menghayati CD SGE ini, ingatanku terus meluncur pada ketika aku pertama kali mendengar CD-CD lagu 'world music' yang diberi percuma melalui pembelian majalah GlobalRhythm, di sebuah kedai menjual majalah terpakai, kira-kira 5-6 tahun lalu. Pada waktu itu, aku dalam fasa menjauhkan diri daripada muzik yang agak keras, lalu dengan mendengar muzik-muzik yang berirama perlahan, jiwaku akan menjadi tenang. Dari pengalaman ala 'mistis' itu, aku terus-terusan menyoal dalam diri, bahawa memang sebenarnya begitu banyak irama dan melodi dalam dunia ini, malahan bunyi-bunyian cengkerik juga mergastua dalam hutan belantara adalah satu irama yang paling mengasyikkan sekira kita memejamkan mata, memasang telinga sejujurnya. Ataupun angin bayu yang sedang meniup dan meliuk lentuk dahan-dahan ru di pantai. Itu juga adalah bunyi yang dikurnia Tuhan kepada kita manusia untuk menghayatinya. Patutlah dalam SGE, Kamal banyak mengguna peralatan muzik yang lebih tradisional, aneh dengan sedikit ambien moden, menghasilkan bunyi-bunyian 'jujur' yang akan menarik kita ke alam sepi dalam sekelip mata. Seolahnya, kamu baru berada di kotaraya yang bising, serta merta terus hilang ke hutan khatullistiwa. Di sana, kamu bertemu dengan segala indah ciptaan Tuhan, yang begitu mensyahdukan jiwa.
Betapa aku rasa, SGE merupakan satu langkah pertama, yang akan ditempuhi Kamal Sabran juga Zulkifli Ramli, dalam meniti perjalanan kehidupan di dunia nan sementara ini. Harapnya, dalam perjalanan itu, mereka berdua menemukan apa yang mereka cari dari awalnya. Mungkin keabadian, ataupun hakikat kebenaran, hanya mereka berdua, dan sudah tentu Tuhan saja yang tahu segala.
visit Farez






