Space Gambus Experiment "B Sides"

Thursday, July 09, 2009

Penjelajahan Angkasa Space Gambus Experiment: Cacatan oleh "Lewat Pementasan"



Katakan pada suatu hari kamu sedang duduk-duduk menikmati keindahan langit. Dalam ketika kamu asyik berkhayal, tiba-tiba datang kepada kamu dua orang lelaki. Salah seorang daripadanya menyandang sebuah gambus sakti manakala seorang lagi kelihatan ‘rare’ dan sangat elektronik. Kedua-duanya mahu mempelawa kamu untuk berdarmawisata ke angkasa. Jangan takut, jangan panik dan jangan sekali-kali menolak pelawaan mereka kerana mereka itu sesungguhnya benar mahu kamu meneroka angkasa.

Space Gambus Experiment adalah projek tradinologi dua individu yang punya naluri seni yang hebat. Projek yang menembungkan seni tradisi dan teknologi secara sengaja ini adalah sebagai melodrama penerokaan angkasa mereka dan mereka mahu kamu terapung menikmatinya.

Kamal Sabran selaku Electro-Acoustic dan Zulkifli Ramli yang bermain Gambus adalah dua individu yang terbabit di dalam pelaksanaan projek ini. Mungkin kamu tahu Zulkifli Ramli juga adalah salah seorang daripada unit bertujuh Dewangga Sakti manakala Kamal Sabran memang sudah lama berdiri di atas nama eksperimen-eksperimen muziknya.

Secara keseluruhan, mereka banyak bermain dengan imaginasi ruang. Jika kamu tahu bagaimana caranya untuk “masuk” ke dalam ruang-ruang yang diciptakan mereka pasti kamu akan terasa “vibe”nya.

Ada 3 trek yang menjadi kegemaran saya:

1. Pengembara Cahaya
2. Dari Dalam Kalbu
3. Pulang Kakanda Bulan

Saya bukanlah seorang yang pakar tentang muzik, apatah lagi tentang selok belok teknikalnya, maka apa yang tertulis adalah berdasarkan pengalaman saya selepas mendengar hasil kerja mereka.

Saya tertarik dengan penggunaan looping pada trek Pengembara Cahaya dan Dari Dalam Kalbu, petikan gambusnya juga kedengaran tersusun dan ada “rasa” di dalamnya. Mungkin lebih menarik jika ada lebih variasi pada melodi asas, itu hanya pendapat peribadi saya, mereka pasti lebih arif tentang karya mereka.

Sebagai sebuah projek, yang mana rakaman sebanyak tujuh trek ini hanya mengambil masa tidak sampai seminggu, kekreatifan mereka amatlah saya kagumi. Idea dan konsep mereka adalah di antara yang terbaik dan segar untuk generasi sekarang.

Walaupun jenisan muzik eksperimen sebegini biasanya jarang mendapat perhatian pendengar muzik tempatan, namun pada saya ianya agak bagus kerana nilainya itu akan kekal bahkan mungkin suatu hari nanti akan bertambah apabila telah wujud satu kesedaran tentang seni yang sebenarnya.

Buat pengamal muzik di Malaysia, lenyapkanlah sebentar bayang-bayang jenama dari luar, renung kasut kamu, ambil inspirasi dan nikmati kehebatan projek ini.

*Baca lagi

0 comments: